Monday, 3 September 2012

PENJELASAN ULAMA "ASWJ" TENTANG TAUHID 3(WAHABI)


Pembahagian Tauhid kepada 3 bahagian

Soalan: Apakah pandangan ulama' tentang Pembahagian Tauhid kepada 3 iaitu: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma' wa Sifat?
Jawapan: Soalan ini telah dijawab oleh pihak Darul Ifta' Mishriyyah (Pusat Fatwa Republik Mesir).

Fatwa dari Darul Ifta' Mishriyyah (Pusat Republik Mesir)Fatwa ini adalah menjawab persoalan tentang Pembahagian Tauhid, Tawassul dan Tabarruk.

No siri: 6623, Tajuk: Sekitar Pembahagian Tauhid dan Hukum Mengkafirkan orang-orang Islam, Tarikh: 3/2/2007
Soalan: Kami telah mengkaji permintaan yang berkaitan pada no. 184, bagi tahun 2007M yang mengandungi:

Terdapat seorang pemuda di salah sebuah perkampungan di Al-Bahirah yang mengkafirkan semua penduduk dengan hujah bahawa mereka bertawassul dengan Nabi saw dalam doa kepada Allah swt, mengambil barakah dengan menziarahi makam Sayyiduna Husain. Dia mendakwa bahawa sesiapa sahaja yang melakukan seperti itu, termasuk di dalam orang-orang yang syirik yang beriman dengan Tauhid Rububiyyah tetapi tidak beriman dengan Tauhid Uluhiyyah. Adakah ada jeni-jenis Tauhid? Adakah orang-orang yang syirik mengakui Tauhid Rububiyyah? Adakah bertawassul dengen Nabi saw dan mengambil barakah dengan menzairahi makam-makam para wali di kira sebagai syirik seperti mana yang dikatakan oleh pemuda tadi?

Jawapan:Dan pembahagian Tauhid kepada Uluhiyyah dan Rububiyyah adalah daripada pembahagian-pembahagian yang baru yang tidak datang daripada generasi Salafus Soleh. Dan orang pertama yang menciptanya - mengikut pendapat yang masyhur - ialah Syaikh Ibn Taimiyyah, semoga Allah swt merahmatinya. Ia kemudian diambil (dikembangkan) daripadanya oleh sesiapa yang memperkata tentangnya selepas itu. Dan yang hasil (apa yang boleh difahami) dari perkataannya (perkataan Syaikh Ibn Taimiyyah) dalam perkataan itu ialah: Sesungguhnya Rububiyyah adalah mentauhidkan Allah swt dalam perbuatan-Nya, dan Uluhiyyah ialah mentauhidkan Allah swt dalam perbuatan hamba. Dan sesungguhnya kedua-duanya, apabila bersama, berpisah dan apabila berpisah, bersama maksudnya: Sesungguhnya setiap salah satu dari keduanya, mengandungi/meliputi yang lain ketika dibahaskan satu-satu dan dikhususkan maknanya ketika dibezakan perbezaan istilahnya kerana uluhiyyah mengandungi Rububiyyah dan Rububiyyah melazimkan Uluhiyyah.  Perkataan (beliau) ini jika sampai kepada perbahasan sebegini, tidak ada apa-apa masalah padanya. (Apa yang menjadi masalah ialah) melainkan dia (Syaikh Ibn Taimiyyah) telah melampau dalam dakwaannya bahawa tauhid ini (iaitu Tauhid rububiyyah) tidak cukup dalam perkara keimanan kerana orang-orang musyrik juga mengakui Tauhid Rububiyyah. Dan kebanyakan kumpulan umat ini yang terdiri dari Mutakallimin dan selain dari mereka telah merasa cukup tentangnya dan mereka mengambil mudah tentang Tauhid Uluhiyyah.

Dan pendapat yang menyatakan bahawa sesungguhnya Tauhid Rububiyyah sahaja tidak mencukupi untuk menentukan keimanan adalah pendapat yang bid'ah, yang bertentangan dengan ijma' umat islam sebelum Ibnu Taimiyyah. Ia malah bertentangan dengan perkataannya sendiri yang mengatakan sesungguhnya Tauhid Uluhiyyah mengandungi Tauhid Rububiyyah, dan sesungguhnya Tauhid Rububiyyah melazimkan adanya Tauhid Uluhiyyah kerana kaedah mengatakan: "Terbatalnya yang melazimi, menunjukkan atas terbatalnya yang dilazimi. Maka, jika orang-orang Musyrik tidak mengakui Tauhid Uluhiyyah, maka tidak betullah dakwaan selepas itu yang mengatakan mereka (orang-orang musyrik) mengakui Tauhid Rububiyyah pula kerana kaedah mengatakan: "Perlunya ketiadaan yang dilazimi dengan ketiadaan yang melazimi. Dan apabila diterima pengakuan orang-orang Islam dengan Tauhid rububiyyah, maka tidak boleh untuk mendakwa bahawa mereka (orang-orang Islam) tidak beriman dengan Tauhid Uluhiyyah pula kerana menjadi kemestian untuk kedua-duanya saling melazimi (berkait) di antara satu dengan yang lain. Oleh itu, bagaimana mengkin mengithbatkan (menetapkan adanya) yang dilazimi sedangkan yang melazimi tidak ada?! Dan sesungguhnya Ahli Ilmu telah bangun menolak pendapat ini dan mereka menerangkan tentang kefasadannya dan menerangkan bahawa ia (pembahagian Tauhid sebegini) adalah batil (tertolak), tidak ada dalil atasnya. Dan sesiapa pun boleh dibetulkan pendapatnya melainkan Nabi saw."

Pendapat Ulama':
Ringkasan pendapat Al-Allamah al-Mufassir al-Muhaddith, Syaikh Yusuf ad-Dijwi, Ahli Lembaga Majlis Ulama' Besar Al-Azhar tentang Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah:
1) Pembahagian ini tidak wujud sebelum zaman Syaikh Ibnu Taimiyyah, dan tidak pernah di dengar dari seorang pun ahli Salaf dan ia tidak logik pada akal.

2) Rasulullah saw tidak pernah berkata kepada seorang yang memeluk Islam umpamanya: "Sesungguhnya terdapat dua tauhid. kamu tidak lagi dikira sebagai seorang Muslim, sehinggalah kamu bertauhid dengan Tauhid Uluhiyyah."

3) Pembahagian ini tidak ada makna kerana Ilah yang benar adalah Rabb yang benar juga, begitulah Ilah yang batil adalah Rabb yang batil juga. Ilah yang disembah mestilah memiliki sifat Rububiyyah. Tidak ada maknanya menyembah Ilah yang tidak memiliki sifat tersebut. Firman Allah swt:


"Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. Oleh itu sembahlah Dia dan bersabarlah dengan tekun dan tetap dalam beribadat kepadaNya."
[Surah Maryam: 65.]
4) Pendapat yang mengatakan bahawa orang Musyrikin bertauhid dengan Tauhid Rububiyyah tetapi tidak dengan Tauhid Uluhiyyah ditolak dengan beberapa hujah:

a) Firman Allah swt:
"Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan mereka yang mentakbir (Arbab) selain Allah." 
[Surah At-Taubah: 31]
Ayat ini dengan sangat jelas sekali menunjukkan kaum musyrikin tidak sekali-kali bertauhid dengan Tauhid rububiyyah kerana mereka mengaku pendeta-pendeta ada ahli agama mereka sebagai Rabb mereka.

b) Firman Allah swt:
"Dan dia tidak pula menyuruh kamu menjadikan Malaikat dan para Nabi sebagai Arbab (tuhan-tuhan)."

[Surah Ali Imran: 80]
Ayat ini menunjukkan bahawa orang Musyrikin mempercayai Arbab (banyak tuhan). Ini menunjukkan mereka mereka tidak bertauhid dengan Tauhid Rububiyyah.

c) Firman Allah swt:
"Wahai sahabat sepenjaraku berdua, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa?"

[Surah Yusuf: 39]
ini adalah seruan Nabi Yusuf kepada 2 orang sahabat Baginda di dalam penjara kepada Islam. Jelas di dalam ayat ini bahawa seruan Nabi Yusuf ialah kepada Tauhid Rububiyyah (dalam ayat digunakan Arbab bukan Alihah), kerana bagi Baginda tidak ada pembahagian Tauhid Rububiyyah atau Uluhiyyah.

d) Firman Allah swt:
"Sedangkan mereka kufur kepada Ar-Rahman (Allah). Katakanlah: Dia (Allah) adalah Rabbku (Tuhanku)."

[Surah Ar-Ra'd: 30]
Ayat ini menunjukkan mereka kufur kepada Allah swt.

e) Firman Allah swt:
"Tetapi aku sendiri percaya dan yakin bahawa Dialah Allah, Rabbku (Tuhanku)."

[Surah Al-Kahfi: 38]
Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang mengingkari Rububiyyah Allah swt.

f) Firman Allah swt:
"Demi Allah! Sesungguhnya kami (semasa di dunia dahulu) adalah dalam kesesatan yang nyata, kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan (Rabb) sekalian alam."

[Surah Asy-Syu'ara': 97-98]
ini adalah perkataan orang Musyrikin pada hari Qiamat yang mengakui bahawa mereka menjadikan sembahan-sembahan mereka sebagai Arbab (tuhan-tuhan).

g) Firman Allah swt:
"Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik): Sujudlah kamu kepada Ar-Rahman, mereka bertanya: Siapakah Ar-rahman itu?". Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kepada kami? Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar."

[Surah Al-Furqan: 60]
jika diamati, adakah orang yang bertauhid Rububiyyah mengelurkan perkataan seperti ini?

h) Firman Allah swt:
"Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kekuasaanNya), padahal Dia amat keras azab siksaNya."

[Surah Ar-Ra'd: 13]
Semua ayat ini menunjukkan bahawa orang Musyrikin atau orang-orang kafir tidak mempunyai Tauhid Rububiyyah. Terdapat ayat lain yang menunjukkan tidak ada perbezaan di antara Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah ini, antaranya:

i) Firman Allah swt:
"bukankah Aku Tuhan (Rabb) kamu? Mereka semua menjawab: Benar."

[Surah Al-A'raf: 172]
Disini digunakan perkataan Rabb (tuhan), bukan Ilah (tuhan). Ini kerana Rabb adalah Ilah, dan Ilah adalah Rabb. Tidak ditanya umpamanya:

j) Firman Allah swt:
"Fir'aun berkata: Akulah Rabb (tuhan) kamu yang tinggi."

[Surah An-Nazi'at: 24]
kemudian Fir'aun berkata lagi:
"Fir'aun berkata: Demi sesungguhnya, jika engkau menyembah Ilah (tuhan) yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau termasuk di kalangan orang-orang yang dipenjara."

[Surah Asy-Syu'ara: 29]
Fir'aun dalam 2 dialog ini menggunakan perkataan Rabb dan Ilah untuk menisbahkan kepada dirinya sebagai tuhan, kerana kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud yang sama. Di dalam hadith disebutkan bahawa Malaikat Mungkar dan Nakir akan bertanya kepada penghuni kubur dengan: (Siapa Tuhanmu?), Tidak ditanya: (Siapa Tuhanmu?). Ini kerana Rabb bermaksud Ilah juga.

5) Antara hujah digunakan oleh golongan yang mengatakan bahawa orang-orang Musyrikin juga bertauhid Rububiyyah ialah ayat dibawah:
"Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang syirik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang menjalankan matahari dan bulan, sudah tentu mereka akan menjawab: Allah Maka, bagaimana mereka sanggup melakukan permbohongan."

[Surah Al-Ankabut: 61]
Sebagai menjawabnya: Mereka hanya berkata dengan lidah tetapi tidak disertai dengan hati kerana pada ketika itu mereka tidak mampu menjawab dalam ketika berhujah. Buktinya ialah:
a) Di akhir perkataan mereka, dalam ayat yang lain, menunjukkan tipuan dan pembohongan pengakuan mereka itu iaitu ayat: (Maka, bagaimana mereka sanggup melakukan pembohongan)
.
[Tafsir Al-Qurthubi dan Intabih! Dinuka fi khathor (Agama Dalam Bahaya), ms 30]
b) Mereka mengatakan selain Allah swt (termasuk berhala) boleh juga memberi manfaat dan mudarat, contohnya:
"Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu (Nabi Hud) sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu).

[Surah Hud: 54]
c) Mereka sebenarnya jahil tentang Allah swt dengan mendahulukan selain Allah swt (termasuk berhala) sekalipun dalam perkara-perkara yang kecil, contohnya:
"Ini untuk Allah mengikut anggapan mereka dan ini untuk berhala-berhala kami. Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah) dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakan pada jalan itu)."

[Surah Al-An'am: 136]

Ringkasan pendapat Al-Allamah al-Muhaqqiq Dr. Abdullah Mani' al-Himyari, Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam, Dubai tentang Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah: 

1) Imam Ahmad bin Hanbal yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid bid'ah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian; Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma' wa Sifat. Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui Tauhid uluhiyyah, tidak dikira makrifatnya terhadap Tauhid Rububiyyah kerana Tauhid Rububiyyah ini telah diketahui oleh orang Musyrikin.

 2) Begitu juga tidak ada seorang pun daripada sahabat-sahabat Nabi saw berkata: "Sesungguhnya tauhid itu ialah Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang Tauhid Uluhiyyah, maka tidak dikira makrifatnya tentang Tauhid Rububiyyah kerana Tauhid Rububiyyah ini telah diketahui oleh orang Musyrikin." 3) Tidak ada satu pun riwayat tentang perkara ini daripada seorang pun para sahabat walaupun dari riwayat yang lemah (Dha'if).
4) Tidak pernah Nabi saw bersabda dan mengajar para sahabat bahawa tauhid terbahagi kepada Tauhid uluhiyyah dan Rububiyyah dan Tauhid Rububiyyah itu diketahui oleh orang Musyrik.

5) Sekiranya tauhid terbahagi kepada tiga bahagian, sudah tentulah Nabi saw menyeru manusia (termasuk orang-orang Musyrik) kepada hanya Tauhid Uluhiyyah, bukan Tauhid Rububiyyah kerana orang Musyrikin - seperti yang didakwa -sudah mengetahui Tauhid Rububiyyah.

6) Al-Quran sendiri tidak menbezakan antara Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah. Apa yang diperintahkan Allah swt kepada NabiNYa adalah Tauhid secara Mutlaq.
 

"Ketahuilah bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah." [Surah Muhammad: 19]
7) Pendapat yang mengatakan bahawa orang-orang kafir dan musyrik sejak zaman berzaman adalah ahli Tauhid dengan Tauhid Rububiyyah dan para Rasul diutuskan hanya untuk Tauhid Uluhiyyah sahaja adalah pendapat yang menutup pintu kebenaran dan hakikat, menyelahi akal dan Syara' dan mendustai penjelasan daripada nas-nas Al-Quran dan Sunnah. Perkara ini juga perkara Bid'ah yang sesat dan tidak terdapat pada umat Salaf yang terawal. Tauhid ini menruntuhkan aqidah dan saling berlawanan.

8) Hujah bahawa orang musyrik tidak bertauhid Rububiyyah:
a) Akal:
Jika mereka bertauhid Rububiyyah, mereka hendaklah beri'tiqad dengan i'tiqad yang jazam (teguh dan pasti) pada keesaan Allah swt dalam ciptaanNya, perbuatanNya, memberi manfaat dan mudarat.... sedangkan mereka juga menyembah selain dari Allah swt, mempercayai berhala boleh mendatangkan manfaat dan mudarat. Semua ini menafikan Tauhid Rububiyyah.

b) Naqal (Nas):
Nas-Nas Syariat secara jelas, terang dan qath'i (putus) menyatakan bahawa orang Musyrik pada setiap masa dan tempat tidak bertauhid Rububiyyah, malah mereka tidak bertauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah, kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu. Antara dalilnya:
i) Orang Musyrik ketika ditanya kenapa mereka menyembah berhala selain Allah swt, mereka menjawab:


"Tidak kami menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendapingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya." [Surah Az-Zumar: 3] 
jelas mereka beri'tiqad bahawa berhala-berhala mereka mempunyai kuasa memberi hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah swt. Di manakah tauhid mereka jika bertauhid Rububiyyah?

ii) Begitu juga dialog orang Musyrik dengan Nabi Hud a.s:
"Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu (NAbi Hud) sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)." 
[Surah Hud: 54]
Jelas mereka percaya berhala boleh mendatangkan mudarat atau manfaat. Ini menafikan Tauhid Rububiyyah.

iii) Firman Allah swt:
"Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (rab) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Dia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan."
 [Surah Al-Baqarah: 258]
Namrud mendakwa mempunyai sifat Rububiyyah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan. Dia juga mendakwa boleh menghidupkan dan mematikan. Ini bermakna orang kafir tidak bertauhid Rububiyyah. Firman Allah swt dalam Surah Yusuf, ayat 39 (sudah dijelaskan sebelum ini). Firman Allah swt dalam Surah An-Nazi'at, ayat 24 (sudah dijelaskan sebelum ini). Firman Allah swt:
 

"Dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan (Rab) mereka." 
[Surah Al-An'am: 1]
orang-orang kafir telah menyamakan Rububiyyah Allah swt dengan sembahan-sembahan mereka dalam urusan penciptaan, taqdir, tadbir, perbuatan dan lain-lain.

9) Soalan di dalam kubur ialah: (Siapakah Rab (Tuhan) kamu?) (Sudah dijelaskan sebelum ini).
 

10) Dalil orang yang berpegang dengan pembahagian tauhid: Mereka berdalil dengan Surah Az-Zumar, ayat 38 (sudah dijelaskan sebelum ini), SUrah At-Taubah, ayat 8 dan ayat-ayat lain yang serupa yang banyak terdapat di dalam Al-Quran.
 

Sebagai Jawapan:a) Mereka mengaku dengan lidah akan kewujudan Allah swt ketika berhujah, tetapi hati mereka mengingkarinya.

"Mereka menjadikan kamu bersenang hati dengan mulut mereka, sedangkan hati mereka menolaknya."

[Surah At-Taubah: 8]
Dengan hanya mengakui Allah swt sebagai pencipta langit dan bumi sedangkan masih mempercayai tuhan-tuhan lain bersekutu dengan Allah swt dalam menjadikan sesuatu, mendatangkan manfaat dan mudarat, bukanlah dalil menunjukkan Tauhid Rububiyyah, malah syirik dalam Tauhid Rububiyyah itu sendiri.
b) Sekiranya orang kafir dan musyrik tidak memiliki kepercayaan bagitu, nescaya mereka tidak akan menyembah tuhan-tuhan selain Allah swt.

11) Kesan pembahagian tauhid ini termasuklah membawa pergolakan dalam pemikiran dan hati orang ramai di samping menggoncang gambaran tauhid yang suci, membawa fitnah dalam masyarakat dan memecah belahkan masyarakat Islam.


Ringkasan pendapat Al-Allamah Abu Abdullah Alawi al-Yamani tentang Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah: 

1) Ilmu tauhid tidak mempunyai pembahagian. Ia terbina di atas kalimah tauhid: Persaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan persaksian bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah.

2) Dalil orang yang berpegang dengan pembahagian tauhid: Surah Az-Zumar, ayat 3, Surah Al-Ankabut, ayat 61 (dan lain-lain).
Sebagai jawapan:

a) Firman Allah swt:
"Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihkan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan kesyirikan)."
 [Surah Az-Zumar: 3]
Ayat dengan jelas menyebut bahawa orang-orang musyrik menyembah berhala, malah di akhir ayat, mereka tergolong dalam golongan kuffar (orang-orang yang kafir). Bagaimana pula dikatakan mereka ini bertauhid Rububiyyah, sedangkan Al-Quran jelas menidakkannya?

b) Firman Allah swt:
"Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?, sudah tentu mereka akan menjawab: Allah, maka bagaimanakah mereka tergamak melakukan pembohongan?"

[Surah Al-Ankabut: 61]
Orang kafir mengatakan Allah swt adalah pencipta hanya ketika berbincang sahaja, tetapi mereka sebenarnya tidak beriman dengan perkara itu. Di akhir ayat, jelas disebutkan mereka itu sebenarnya berbohong.

Bukti bahawa orang-orang kafir tidak bertauhid dengan Tauhid Rububiyyah, firman Allah swt:
"(mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat?) Tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit, bagaimana ditinggikan binaannya?"

[Surah Al-Ghasyiah: 17-18]
Jika orang kafir bertauhid Rububiyyah, kenapa perlu lagi ditanya soalan-soalan sedemikian yang seolah-olah mereka tidak bertauhid Rububiyyah yang mengakui bahawa Allah swt lah pencipta? Firman Allah swt:

"Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan hidup silih berganti, dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan masa."
[Surah Al-Jathiah: 24]
Orang kafir percaya bahawa faktor masalah yang menyebabkan berlakunya kehidupan dan kematian. Ini sudah jelas tidak bertauhid Rububiyyah.

Al-Quran menjelaskan bahawa Firaun tidak bertauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah, yang pada hakikatnya kedua-duanya adalah sama.
"Aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebagai tuhan (ilah) selain aku."
 [Surah Al-Qashash: 38]
Dalam ayat lain, Firaun berkata:
"Maka (fir'aun) berkata: Akulah Rabb (tuhan) kamu yang tinggi."
 [Surah An-Nazi'at: 24]
Dalam kedua ayat ini digunakan perkataan Ilah dan Rabb yang bermaksud tuhan. Ini kerana tidak perbezaan di antara keduanya.

Antara ulama' Al-Azhar yang menolak ajaran Tauhid Tiga:

1) Al-Allamah al-Mufassir al-Muhaddith, Syaikh Yusuf ad-Dijwi, Ahli Lembaga Majlis Ulama' Besar Al-Azhar. Beliau  telah mengeluarkan fatwa penolakan Al-Azhar terhadap Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah di dalam Majalah Nur al-Islam, Edisi tahun 1933, lidah rasmi Al-Azhar ketika itu. Fatwa beliau dipersetujui oleh ulama' Al-Azhar yang lain tanpa ada sebarang bangkangan. Sehingga hati ini fatwa tersebut masih diterima pakai.

2) Al-Allamah al-Muhaddith, Syaikh Zaki Ibrahim, mengeluarkan kembali fatwa tersebut di dalamMajalah al-Muslim, Majalah diiktiraf oleh Al-Azhar.

3) Syaikh Izz ad-Din Abu al-Aza'im juga memuatkan fatwa tersebut di dalam Majalah Islam Watan.

4) Al-Allamah al-Muhaddith, Syaikh Salamah al-Qudha'i al-A'zhami asy-Syafie di dalam kitabnya Al-Barahin as-Sath'iyyah fi Radd Ba'dh Bida' as-Saiyi'ah. Kitab tersebut mendapat pengiktirafan dan pujian Al-Allamah al-Muhaddith al-Musnid, Syaikh Muhammad Zahid al-Kauthari, ulama' besar dan muhaddith pada zaman tersebut.

5) Al-Allamah al-Muhaddith al-Musnid, Dr.Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani di dalam kitabnya Huwa Allah.

6) Sayyid Ala'uddin Abu al-Azhaim didalam kitabnya Yahud am Hanabilah?.

7) Al-Allamah Abu Abdullah Alawi al-Yamani di dalam kitabnya Intabih! Dinuka fi Khathor.

8) Al-Allamah Abu al-Hasanain Abdullah bin Abd ar-Rahman al-Makki asy-Syafi'e di dalam kitabnya Al-Qaul al-Wajih fi Tanzih Allah Ta'ala 'an at-Tasybih.

9) Syaikh Yusuf al-Bukhur al-Hasani, ahli fatwa di kanada.

10) Syaikh Siradjuddin Abbas, Ulama' besar Indonesia di dalam kitabnya Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

11) Al-Allamah Muhammad al-Khalil al-Khatib di dalam kitabnya Al-Wasilah wa at-Tawassul.

12) Al-Allamah Dr. Isa bin Abdullah Mani' al-Himyari, Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam, Dubai di dalam kitabnya Al-Fath al-Mubin fi Bara'at al-Muwahhidin min 'Aqa'id al-Musyabbihin, dan ramai lagi.

Di bawah tajuk: Tiga Pembahagian Tauhid Sebagai Faktor Dominan di dalam kitabnya Al-Ghuluw wa Atharuhu fi al-Irhab wa ifsad Al-Mujtama' (Ekstrem dalam Beragama: Pengaruh pada kemunculan Tindakan Terorisme dan Anarkis):
Al-Allamah al-Muhaddith Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki berkata:

"Di antara faktor terpenting dan dominan yang menjadi sebab munculnya ekstremisme adalah apa yang kita saksikan bersama pada metode pembelajaran tauhid dalam kurikulum sekolah (iaitu di Arab Saudi). Dalam materi tersebut terdapat pembahagian tauhid menjadi tiga bahagian: 1) Tauhid Rububiyyah, 2) Tauhid Uluhiyyah, dan 3) Tauhid asma' was Shifaat. (Padahal pembahagian seperti ini), Tidak pernah dikenal oleh generasi Salaf dari masa sahabat, Tabi'in mahupun Tabi'it Tabi'in. Bahkan, pembahagian dengan format seperti ini tidak terdapat dalam Al-Quran atau Sunnah Nabawiyyah. 
Jadi, pembahagian (taqsiim) tersebut tidak lebih merupakan ijtihad yang dipaksakan dalam masalah ushuluddin serta tidak ubahnya seperti tongkat yang berfungsi membuat perpecahan di antara umat Islam dengan konsekuensi hukumnya yang memunculkan sebuah kesimpulan bahawa kebanyakan umat Islam telah kafir, menyekutukan Allah swt, dan lepas dari tali tauhid.
 
Selanjutnya taqsiim ini juga akan sentiasa menjadi sarana yang mudah didapat untuk terus mengelurkan dakwaan-dakwaan dan keputusan sesuka hati tanpa didasari pemikiran dan renungan.
 
Taqsiim ini, terlepas dari penelitian apakah memiliki dasar dalam aqidah Islaamiyyah atau tidak, yang jelas dan sangat disayangkan kini telah menjadi dasar kuat (dan alat) untuk mengafirkan banyak kolompok Islam. Andai saja yang menjadi korban dari taqsiim ini hanya sebahagian orang, tentu bencana  sangat ringan dan mudah diatasi. Akan tetapi, musibah ini ternyata menimpa majoriti Umat; ulama' dan awam, pemikir, juga para sasterawan. (Dengan demikian), pada hakikatnya taqsiim ini merupakan goresan yang memotong tali hubungan di antara umat islam. Jika kita berniat membersihkan Makkah Madinah - dengan Standard pendapat mereka - dari orang-orang yang dicurigai sebagai pemilik kesyirikan, penyembah para wali, pengkagum Ahlu Bait, dan pengikut pemahaman umum dalam sifat-sifat-Nya, tentu akan terjadi penolakan terhadap banyak jama'ah haji dan para penziarah. Para jama'ah haji dan para penziarah tersebut, dalam musim-musim agama, berasal dari berbagai kelompok umat Islam yang seluruhnya mendapat sambutan dan pelayanan dari pemerintah serta kebebasan menjalankan apapun sesuai dengan prinsip (mazhab) mereka yang sedikit pun tidak bertentangan dengan syariat Islam. (Sungguh, betapa pun perbezaan itu ada), tetapi hanya berputar dalam masalah Khilaafiyyah, hal di luar yang sudah disepakati bersama (ijma') seperti halnya para pelaku kesalahan dan pelanggaran syariat. Para ulama' tidak pernah sepakat (berijma') mengafirkan pada pelakunya, kerana termasuk dalam firman-Nya:

"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni apabila Dia disekutukan dan Dia memberikan ampunan kepada selain itu kepada orang yang Dia kehendaki." [An-Nisa': 48]
Dalam buku yang sama, beliau menyebutkan bahawa sebelum adanya silibus pelajaran aqidah dengan Pembahagian Tauhid kepada 3 bahagian, para ulama' dahulu telah menjalani method pengajaran dan pembelajaran cara tradisi melalui kitab-kitab turath yang bersih dan suci aqidahnya. Al-Allamah berkata:

"Ustaz Abdul Maqsud Khowjah menyebutkan bahawasanya dia dan teman-temannya telah belajar di Madrasah Al-Falah, di Masjidil Haram dan di Masjid Nabawi. Di tempat-tempat itu banyak pemuka-pemuka ulama', di antaranya Sayyid Alawi al-Maliki, Sayyid Amin al-Kutbi, Sayyid Ishaq Aziz, Syaikh Hasan al-Masysyath, Syaikh Muhammad Nur Saif, Syaikh Hasn Yamani, Syaikh Al-Arobi at-Tabani, serta Syaikh Yahya Aman.

Mereka semua adalah alumni dari kurikulum terdahulu. Mereka juga mengajarkan kurikulum itu. Tidak ada seorang pun dari mereka yang melampaui batas, ekstremis, atau teroris. Bahkan, mereka adalah para Imam Ahlus Sunnah Wal Jama'ah dan Para pemuka ulama'..."


Kesimpulan:Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah tidak boleh terpisah dan keduanya saling memerlukan dan melazimkan di antara satu dengan yang lain. Pembahagian Tauhid kepada Tiga seperti ini tidak ada dalam generasi Salafus Soleh
 
Adalah sangat bertentangan dengan ijma' bagi dakwaan yang mengatakan bahawa dengan Tauhid Rububiyyah sahaja, ia tidak cukup untuk menentukan keimanan seseorang.
 
Fitnah Takfir (kafir mengafir) yang timbul daripada pembahagian tauhid seperti ini adalah hakikat mazhab Khawarij (seperti mengafirkan orang yang bertawassul).
 
Tauhid Uluhiyyah yang dibicarakan boleh membawa kepada mengafirkan umat Islam yang bertawassul, bertabarruk, beristighathah dengan para Anbiya', Auliya', orang soleh dan lain-lain.

Tauhid Asma' Wa Sifat pula boleh mendorong untuk menjadikan ayat-ayat mustasyabihatsebagai asas tauhid dan membawa kepada aqidah tasybih dan tajsim.

No comments:

Post a Comment